Garis Panduan Laluan Kemudahan Utiliti Dan Penggalian Jalan
Garis Panduan Laluan Kemudahan Utiliti dan Penggalian Jalan Negeri Selangor (GPLKUPJNS) Edisi Pertama ini merupakan Garis Panduan yang telah diluluskan di dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 19/2022 pada 10 Ogos 2022 dan disahkan oleh MMKN ke 20/2022 pada 24 Ogos 2022 dan telah berkuatkuasa bermula 1 September 2022.
Garis panduan ini dilihat selari dengan senario dan perkembangan pembangunan semasa dengan tujuan untuk mempertingkatkan kualiti persekitaran dan kehidupan yang lebih sempurna selaras dengan visi Kerajaan Negeri Selangor iaitu “Selangor Negeri Smart and Caring” (SAC).
Bagi merealisasikan Garis Panduan ini, gerak kerja telah dimulakan pada tahun 2020, PlanMalaysia@Selangor bersama-sama dengan jabatan-jabatan teknikal, pihak berkuasa tempatan, dan lain-lain agensi di peringkat persekutuan dan negeri berganding bahu dalam menyediakan Garis Panduan Laluan Kemudahan Utilti dan Penggalian Jalan Negeri Selangor. Garis Panduan ini merangkumi hampir kesemua aspek utama dalam perancangan dan pengurusan utiliti bagi kawasan pembangunan baru ataupun pembangunan sediada. Selain itu juga Garis Panduan Edisi pertama ini juga dilengkapkan dengan perkara dan sub-perkara khususnya yang melibatkan perundangan dan peraturan serta aspek teknikal yang berkuatkuasa dan ia dipersembahkan dengan cara yang mudah dirujuk kepada semua pengguna.
Penyediaan Garis Panduan Laluan Kemudahan Utiliti dan Penggalian Jalan ini juga dihasilkan selari dengan prinsip dan matlamat peduli rakyat dan Smart Selangor. Menjadi harapan kita semua supaya garis panduan ini dapat digunakan secara berkesan dan menyeluruh bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di Negeri Selangor.